13 October 2006

Makrifatulloh

Makrifatulloh :
Jalan Keselamatan Diri Dunia Akhirat

Firman Allah dalam surah az-Zumar ayat 9 : “Adakah sama
orang jahil dengan orang yang berilmu?”

Menurut ahli tasawuf, berilmu yang dimaksudkan di sini ialah
Ilmu Makrifatulloh. Inilah ilmu yang paling utama dan
penyelamat bagi manusia. Mengenal Allah secara ilmu zahiri
adalah sebagai pengenalan awal kepada diriNya sedangkan
pengenalan melalui cahaya hati adalah pengenalan yang hakiki.

Hati yang bersih akan tersingkap baginya pelbagai
rahasia ketuhanan. Semakin ia bersih, semakin memancarlah
makrifat pada hatinya. Hati yang memancar ini adalah hati yang
melalui proses ilmu, ibadah dan mujahadah yang istiqamah.
Mereka yang tersingkap kepadanya rahasia ihsan
(sentiasa melihat Allah atau Allah melihatnya) imannya tidak
perlu kepada dalil atau bukti untuk membuktikan wujud Tuhan.
Ini kerana hatinya sentiasa melihat Allah di dalam pandangan
dan pendengarannya di mana saja ia berada.

Firman Allah : “Dimana kamu hadap di situlah wajah
Allah SWT.”
(Al-Baqarah : 115)

Hati yang bersih dari segala hijab keduniaan dan nafsu akan
melihat dan merasai ayat-ayat Allah dengan pandangan hakikat.
Inilah kasyaf yang hakiki di mana hatinya dapat menangkap
rahasia ayat-ayat Allah dengan penglihatan yang haq.

Firman Allah : “Sesungguhnya tidaklah menyentuh
Al-Quran itu melainkan mereka yang suci…”

Ayat ini ditafsir oleh ulama tasawuf dengan maksud bahawa
ayat-ayat Allah tidak akan berada dalam jiwa yang kotor.
Bacaan mereka hanyalah di lidah, bukannya di hati.
Ilmu mereka hanyalah di akal tapi tidak di hati.
Tanyalah diri sendiri, bagaimanakah perasaanmu bila
membaca ayat :

“Dan Dia (Allah) bersama kamu di mana
kamu berada.”
(al-Hadid : 4)

Kalau hati kamu keras dan tidak merasa apa-apa, ayat di atas
hanyalah sekadar suatu maklumat pada akalmu saja. Dan apabila
hal keTuhanan berada pada akal, ia akan hilang apabila kamu
berfikir pada perkara yang lain pula. Tetapi jika hatimu bersih,
ayat ini dapat dirasai dan dilihat dengan pandangan cahaya hati
sehingga merasai kebersamaan dengan Allah di mana saja berada.

Mereka yang mengingati Allah dalam penghayatan dan penglihatan
akan merasai kelazatan iman dan makrifat yang tidak terhingga.
Allah adalah kekasihnya dan ia meninggalkan apa jua yang boleh
melalaikan ia dengan Allah. Allah adalah yang dirindui dan ia menjadi
perindu, Allah menjadi pujaan dan ia sebagai pemuja.

Sesiapa yang mengenal Tuhan, ia akan mencintai Tuhan dan
leburlah segala keindahan yang lain. Sesiapa yang mengenal Tuhan,
tiadalah ia resah gelisah dengan apa jua yang menimpanya.
Memancar pada hatinya sifat kecintaan, keyakinan, ketakwaan,
kerinduan dan ia mendapat perlindungan dari Allah SWT.
Ini disebabkan hatinya sentiasa bercahaya dengan zikrullah
dan Allah memberi pengakuan dengan firmanNya :

“Dan ingatlah kepada-Ku, niscaya Aku ingat kepadanya…”
(al-Baqarah : 152)

Apabila Allah mengingatinya, nescaya hatinya dipenuhi dengan
cahaya kebenaran dan terhapuslah cahaya kebatilan yang datang
dari syaitan.

Firman Allah : “Apabila datangnya kebenaran akan
terhapuslah kebatilan...”
(al-Isra’ : 81)

Ada juga yang mentafsirkan mengingati Allah dengan melakukan
kebaikan sedangkan pentafsiran seperti ini adalah berbentuk
umum dan tidak muafakat di kalangan mufassirin yang muktabar,
apatah lagi tafsiran yang dihurai oleh ulama-ulama tasawuf yang
merupakan pakar dalam bidang kejiwaan manusia.

Wallahu ‘alam. Petikan buku : Bicara Hikmah II

Salam Bahagia
Nur Khabib

No comments: